SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat
seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada
ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak:
"Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"
Waktu
itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku
sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf
lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.
Apabila aku
mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman
pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.
Keindahan
istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata
begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut
menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat
jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata
kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga
untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan.. ."
Malaikat
itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki
sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada
sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.
Dalam setiap istana itu
terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah
dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di
hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa
dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal.
Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan
corak.
Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat
daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan
makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia
untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan
aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih
manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.
Aku
yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah
tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum
mewangi ini?"
Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah
Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga
Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para
syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama
al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."
Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"
Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu! "
Tidak
lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan
permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas
permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak
ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi
sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan
mencium dahiku berkali-kali.
Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"
Ayahanda
menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang
indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda
berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu
serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka.
Bergembiralah. .. engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa
hari lagi..."
Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."
Selepas
berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku
menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat
bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari
lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat.
Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut
panggilan Ilahi selepasnya.
Sejak hari ayahanda wafat lagi aku
selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas
bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama
lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.
Aku
menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti
Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah
kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di
Habshah.
Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku
berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada
seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta
suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi
anakku seperti aku menyayangi mereka.
Setelah merasa saat ajal
hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda.
Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk
bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.
Tidak
lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua
puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang,
ibumu terpaksa pergi dulu...
Selamat tinggal sayangku, puteraku
dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa.
Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka
berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh
aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku
terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di
masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang
ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh
tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu
sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan
merawatku.
Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah
aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap.
Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab
panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah
mengikut jejak langkah ayahandaku!"
Setelah sejam berlalu, Asma
memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika
penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung
itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi
rajiun...
***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah
az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah.
Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah
s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah.
Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?
No comments:
Post a Comment